Hilton Kuala Lumpur: Trải nghiệm sang trọng tại KL Sentral

Hilton Kuala Lumpur: Trải nghiệm sang trọng tại KL Sentral

Hilton Kuala Lumpur (3-4/1/2026)

Saya sebenarnya sudah agak lama tidak ke sini, kali terakhir ialah pada Febuari 2022. Hotel yang terletak di KL Sentral ini telah dibuka pada September 2004. Bangunannya pula terletak bersebelahan dengan Hotel Le Meridien. Melalui aplikasi Trip.com saya menempah bilik jenis Deluxe yang berharga RM432.02. Harga ini tanpa sarapan pagi tetapi telah termasuk cukai.

Saya tiba di hotel pada pukul 2.10 petang dan terus sahaja mendaftar masuk. Lobi hotel ini cantik dan luas. Selain kaunter terdapat sebuah kafe dan juga sebuah restoran di lobinya. Walaupun pengunjung ramai ketika saya tiba, proses daftar masuk agak cepat. Saya diberi bilik jenis Deluxe Plus (free upgrade) yang mana ianya lebih luas dari bilik jenis Deluxe. Oleh kerana bilik telahpun sedia, saya terus diberi kad akses bilik. Terdapat enam buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif sangat cepat.

Bilik jenis Deluxe Plus ini terletak di hujung dan ianya mempunyai keluasan 516 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat satu ruang yang menempatkan satu kabinet kecil. Di dalamnya terdapat peti sejuk mini dan di atasnya pula terdapat sebuah mesin membancuh kopi serta empat botol air minuman. Kemudian memasuki ruang bilik terdapat almari pakaian yng besar, yang ditutupi dengan pintu gelongsor. Di dalam almari ini terdapat peti simpanan keselamatan dan juga dua pasang jubah mandi (bathrobe).

Di hadapan almari ini terdapat satu meja kerja serta sebuah kerusi. Saiz mejanya agak besar dan di atasnya terdapat satu lampu bacaan. Di sebelah kiri meja ini terdapat satu ruang bertutup yang menempatkan seterika serta papan seterika. Di ruang katil pula selain satu king terdapat satu sofa yang besar di sebelah kanan katil, iaitu di tepi tingkap. Di hujung sofa ini diletakkan satu meja bulat kecil. Di kanan kaki katil pula terdapat TV yang dilekatkan di dinding di mana saiznya besar, mungkin 60 inci.

Ruang bilik airnya pula agak besar di mana ianya betul-betul bertentangan dengan kaki katil. Ianya boleh ditutup dengan pintu gelongsor yang besar, apabila dibuka menjadikan bilik jenis Deluxe Plus ini kelihatan sangat luas. Bilik airnya menempatkan singki di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya pula terdapat tab mandi yang sederhana besar. Di sebelah kiri pula adalah ruang tandas dan juga ruang pancuran. Ruang tandasnya ditutupi sepenuhnya oleh cermin yang lutcahaya sementara ruang pancurannya hanya ditutupi separa dengan cermin yang lutsinar. Hotel ini tidak menyediakan gelung paip dan di ruang pancuran terdapat dua jenis pancuran. Sebagai sebuah hotel bertaraf 5 bintang, hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.

Salah satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang sangat luas kerana ianya berkongsi dengan Hotel Le Meridien. Kolam renangnya terletak di Tingkat 8. Bukan sahaja luas, ianya juga dibuka sehingga jam 11 malam dari pukul 6 pagi. Selain kolam renang, di Tingkat 8 juga terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam. Selain itu di aras yang sama terdapat sebuah spa, sauna dan jakuzi yang beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan sekitar 11mbps sahaja. Untuk telco pula, CelcomDigi mencapai kelajuan 314mbps sementara Tune Talk pula 308mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV percuma yang banyak serta di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat cuma bagi saya ruang pancurannya agak sempit.

Untuk srapan pula, ianya di restoran yang terletak di lobi hotel. Waktu sarapan ialah pada pukul 6 pagi hingga 10.30 pagi. Walaupun agak mahal iaitu RM88 untuk seorang, hotel ini menyediakan menu sarapan yang sangat pelbagai cuma saya tidak begitu suka dengan kawasannya yang agak sempit. Seperti biasa saya hanya mencuba beberapa menu sahaja dan ianya sedap bagi saya. Hotel ini juga ada menyediakan servis in-room dining yang beroperasi 24 jam tetapi menunya agak mahal. Sebagai contoh nasi gorengnya berharga RM62. Untuk yang membawa kenderaan pula, terdapat parkir di hotel ini tetapi ianya bukanlah percuma. Pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM8 untuk sehari.

Sebagai sebuah hotel di bawah rangkaian Hilton hotel ini sememangnya menepati kriterianya sebagai sebuah hotel bertaraf 5 bintang. Lokasinya juga sangat strategik di mana ianya hanya terletak bersebelahan dengan KL Sentral yang beroperasi sebagai hub pengangkutan awam.

Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengetahui perkembangan staycation saya, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😎


Đăng nhận xét

Mới hơn Cũ hơn